Sunday, April 24, 2011

BeBaSKaN JiWaMu iTu..

Bismillahirrahmaanirrahiim.





Apabila anak Adam itu menyombong diri kepada Pemiliknya, maka dia sudah lupa bahawa kepada siapa dia bersikap sombong itu lagi sombong daripada dirinya. Allah Maha Sombong kepada orang-orang yang sombong.
Apabila Allah sudah Sombong, maka terkurunglah segala rasa didalam jiwa seorang anak Adam. Batinnya meronta-ronta, tetapi tidak dilepaskannya. Allah akan melihat, sejauh mana dia akan hidup derita dengan kesombongannya dan enggan sujud kepada Tuan Punya Dunia.
ALLAH mengurniakan akal kepada manusia untuk memikirkan kebesaran ALLAh serta untuk melihat kaca mata dunia dengan kaca mata akhirat. Tetapi manusia seringkali diberi ALLAH peluang untuk berada di tahap yang tinggi. Dan tidak semena-mena, manusia yang mudah lupa diri.. Akan melupakan segala yang tidak patut dia lupakan. Aduh. Bangun saudaraku.. ALLAH masih memerhatikanmu!
Manusia Sangat Hina dan Kerdil
Dalam kegembiraan di dalam dunia menjalani rutin kehidupan dengan penuh ceria dan gembira, adakalanya manusia terlalu angkuh dan seronok sehingga lupa untuk berkongsi keseronokan itu dengan Maha Pencipta. Benar, Allah tidak perlukan perkongsian manusia.. Namun ingat, manusia itu adalah hamba. Apakah layak seorang hamba melupakan Allah yang telah menciptakannya?
Tidak cukup dengan itu, manusia angkuh apabila memperolehi kejayaan dan tiada langsung pengucapan terima kasih terhadap Khaliq yang telah mengizinkannya untuk melakar kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya. Alangkah ruginya seorang manusia itu berprasangka bahawa kejayaannya itu adalah hak miliknya kerana hasil usahanya sendiri selama ni. Rugi.. Sungguh rugi!
Dalam senyumnya, tawanya, senda guraunya.. Dia menyombong kepada ALLAh dan manusia yang tidak sekufu dengannya. Dan hidupnya berlanjutan sedemikian rupa sehingga datanglah ujian dari ALLAH dimana manusia itu telah terjatuh, terduduk dan tidak bangun dalam tempoh yang lama.
Sekali lagi, Allah menguji..
ALLAh sekali lagi menunggu dengan memberi peluang kepada hamba-Nya yang telah DIA buat untuk duduk menghisab diri. Namun, sekali lagi manusia yang tidak bersyukur itu tidak mengambil iktibar atas semua yang terjadi. Batinnya menyalahkan Tuhan. Ya! Menyalahkah ALLAH. Apakah manusia itu berhak untuk menyalahkan ALLAH sedangkan selama manusia berada dalam kesenangan, langsung tiada ALLAH dalam kamus hidupnya. Ah! Manusia sangat bodoh..
Jiwa Manusia Akan Meronta
Sampailah pada satu masa, hatinya, batinnya, jiwanya sangat meronta-ronta untuk mendapatkan kebenaran. Untuk mendapatkan ketenangan. Dan sekali lagi! Sekali lagi kerana sisa kesombongan yang masih menebal pada dirinya, dia tidak mempedulikan jeritan batinnya itu.
“Aku ingin mencari Rabbi…!” Jerit batinnya, tidak didengari.
Manusia itu terus menerus berjalan terhuyung-hayang di atas muka bumi dengan jiwa, siang malam menjerit mencari pencipta alam. Masih tidak dihiraukannya. Alangkah terseksanya jiwa.
Jiwa.. Jiwa yang dahagakan kasih-sayang dari Sang Pencipta tidak mengalah dengan empunya badan yang sombong lagi bodoh. Jiwa yang sentiasa menjerit-jerit diperhatikan oleh ALLAH, dan ALLAH hanya memandangnya, kerana ALLAH tidak akan kekurangan sedikit pun jikalau hamba-Nya menyombongkan diri kepada-Nya. Sebaliknya, manusia yang bodoh itulah bergantung kepada kekuasaan ALLAH Maha Besar!
Ayuh! Bebaskan Jiwamu!
Wahai manusia yang lemah dan hina.. Masihkah tidak mendengar suara batinmu yang dahagakan kasih-sayang Tuhanmu? Tuhan, ALLAH yang menciptakan langit dan bumi.
Dengarkan.. Dengarkan jiwamu itu.
Jiwa manusia sentiasa memerlukan kasih-sayang ALLAH SWT. Hatta orang jahat sekalipun akan berfikir tentang dosa yang dilakukannnya, tetapi seringkali pergerakannya terhalang dek kerana hitamnya dosa di dalam hati ditambah dengan kesungguhan yang tiada bersungguh!
Apakah manusia akan mengira, TAUBAT itu akan datang kepada mereka? Atau mereka akan datang bersama taubat kepada ALLAH Maha Besar?!
Wahai manusia, jiwamu dan fitrahmu sukakan kebaikan. Mengapa engkau menghalang fitrahmu untuk menghantar isyarat kepada anggota tubuh menzahirkan kebaikan dalam jiwamu? Apa kau mengira kau akan hidup tanpa bantuan dari ALLAH? Kau silap saudaraku.. Kau silap! Alangkah ruginya dirimu!
Dengarkan suara batinmu saudara. Dengarkan!
Kembalilah kepada Tuhan yang Maha Satu!
ALLAh langsung tidak tergugat kedudukannya jikalau manusia menyombongkan diri, kerna ALLAh lagi MAHA SOMBONG. Tapi apakah kita sebagai manusia akan bertahan. Bertahan berlawan kesombongan dengan ALLAh? Tidak! Kita akan hancur.. Hancur sehancurnya.
Lepaskanlah.. Pintu Taubat Masih Terbuka.
Alangkah indahnya.. Bahagianya.
Lepaskan batinmu yang meronta-ronta mencari Tuhannya untuk mengabdikan diri kepada ALLAH.
Itulah tujuanmu. Itulah tempatmu. Ayuh sama-sama meminta kepada ALLAH, kerana ALLAH lah tempat memohon segala-galanya. SubhanaAllah!
Semoga ALLAH merahmati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...