Saturday, March 19, 2011

Jauhilah Lapan Perkara Menyebabkan Amalan Kita di Tolak Oleh Allah S.W.T.

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan yang kita laksanakan adalah dengan penuh pengharapan agar ianya diterima oleh Allah S.W.T. kerana apabilan amalan kita diterima oleh Allah S.W.T maka barulah ganjaran pahala yang akan kita terima sebagai bekalan yang akan kita bawa di hari akhirat nanti untuk menghadapi keadilan di mahkamah Allah S.W.T. Jika amalan kebaikan kita di timbang dan di dapati dengan timbangan yang berat maka dengan rahmat Allah kita akan di masukkan ke dalam syurga-Nya.

Apakah kita merasai bahawa kesemua amalan-amalan kebaikan yang kita kerjakan ini akan di terima oleh Allah S.W.T.? Sedangkan jika dilihat daripada hadis Nabi S.A.W. yang panjang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal terdapat 8 perkara yang akan menjadi penghalang dan menyebabkan amalan-amalan kita tidak di angkat dan diterima oleh Allah S.W.T.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Mengumpat.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Hujarat ayat 12)

Mengumpat adalah dosa yang amat berat di sisi Allah s.w.t.. Orang yang melakukan perbuatan itu diumpamakan oleh Allah s.w.t. sebagai memakan daging saudaranya yang telah mati. Ini jelas menunjukkan betapa hina dan buruknya perbuatan tersebut. Dan ia dianggap hina kerana menyinggung kehormatan orang lain yang sewajarnya dipelihara.

2. Mengharapkan keduniaan.

Allah SWT berfirman: "Ketahuilah, bahwa sesungguh nya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara karnu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhrat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan belaka." (Surah Al-Hadîd ayat 20).

Ayat ini juga memperlihatkan kedua sisi kehidupan dunia itu. Baik yang lahir maupun yang batin. la bagaikan curahan hujan yang turun dari langit menyirami bumi. Kemudian tumbuh tanaman-tanaman yang indah dan menarik perhatian para petani. Namun, setelah itu mengering, menguning dan akhir nya rusak.

3. Sombong.

Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."
Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sombong adalah penyakit berbahaya, dimana jika penyakit ini bersarang di hati, nescaya akan mendorong pelakunya untuk berbuat dosa yang akan menjauhkannya dari syurga dan mendekatkan ke neraka.

4. Ujub.

Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

5. Pendengki dan hasad

Sifat hasad dengki adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit hasad dengki ini tidak suka melihat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripadanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, iaitu sehingga musuhnya jatuh gagal dan tewas.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"

6. Tidak mengasihi orang lain.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Seseorang itu tidak beriman sehinggalah dia mengasihi terhadap saudaranya seperti mana dia kasih terhadap dirinya sendiri"(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang itu tidak dibenarkan sama sekali untuk menyakiti hati saudaranya menyebabkan saudaranya kecewa menderita putus asa kerananya lebih-lebih lagi menyakiti tubuh badan seperti memukul, mencedera dan sebagainya, ataupun sesuatu yang menyebabkan dia teraniaya, seperti penipuan yang membawa ke arah kegagalan dalam kehidupan serta kesusahan sepanjang hayat. Semua ini ternyata dalam al-Quran dan al-Sunnah dengan larangan yang amat keras dan tidak dibenar walau apa cara sekalipun.

7. Sum'ah dan riak.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa yang beramal kerana sum'ah (ingin didengar manusia) maka Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan keburukannya. Dan barangsiapa yang berbuat riyak, maka Allah akan menampakkan riyaknya"
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa yang beramal dengan suatu amal dengan niat agar orang lain mendengar perbuatan dan memujinya, maka Allah akan membalas dengan membuatnya terkenal. Pada hari kiamat kelak, niat amal tersebut akan dibongkar dan dibalas dihadapan makhluk. Dan barangsiapa yang melakukan suatu amal dengan niat agar manusia melihatnya di dunia, (riyak) maka Allah akan membalasnya dengan menampakkan riyak dihadapan makhluk".
(Hadis Riwayat at-Thabarani dan Baihaqi)

Menurut pandangan syarak, ulama memaksudkan riyak sebagai seorang hamba yang melaksanakan ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Allah, namun tidak menginginkan balasan dari Allah, bahkan menginginkan dunia.

Al Izz b Abdussalam menyatakan”Sum’ah adalah dengan cara menyembunyikan amalannya kerana Allah, lalu menceritakan kepada manusia”

Sum’ah itu tidak akan terjadi melainkan kepada perkara yang biasa terdengar seperti membaca al quran, zikir dan sebagainya secara nyaring mengharapkan agar orang lain mendegar lalu memuji perbuatan tersebut.

8. Tidak ikhlas.

Amalan yang tidak ikhlas tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Ikhlas itu merupakan satu rahsia dari rahsia-rahsia Allah S.W.T. yang mana para malaikat pun tidak dapat mengesannya.Malaikat akan mencatat apa yang nampak zahir sahaja segala perbuatan dan amalan manusia.

Amalan yang ikhlas adalah amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T. bukan kerana ada sebab-sebab yang lain atau ada dorongan-dorongan yang lain. Semua amalan kebaikan manusia akan tertolak di akhirat nanti apabila ada amalan atau pekejaan yang dibuat kerana sesuatu sebab iaitu untuk mendapat nama, pujian, penghargaan, pangkat dan kedudukan.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita menjauhi lapan perkara yang dinyatakan di atas menyebabkan amalan kita di tolak oleh Allah S.W.T. Jika amalan kita di tolak dan tidak diterima oleh Allah S.W.T. maka dimanakah lagi cara kita dapat menyelamatkan diri kita daripada azab Allah S.W.T di hari akhirat nanti? Oleh itu cubalah sedaya upaya kita perbaiki kelemahan diri kita dan meningkatkan iman dan amal dan melegkapkan diri dengan sifat-sifat mahmudah.

1 comment:

  1. Coin Casino: Review for All Games & Bonuses - Casinowoworld
    Coin Casino review for 메리트 카지노 고객센터 all 카지노사이트 the games & bonuses, withdrawal methods and customer support, live chat, currencies & more. 인카지노

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...